Meringankan Kos Sara Hidup
Tuan Yang di-Pertua,
112. Dalam usaha untuk terus meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak, Kerajaan bercadang membuat pemberian tunai secara one-off atau sekali sahaja seperti berikut:
Pertama: Bantuan sebanyak 500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. Langkah yang julung kali diambil ini membuktikan keprihatinan Kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan kos sara hidup. Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;
Kedua: Bantuan persekolahan 100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. Memandangkan bantuan ini disasarkan kepada keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana, atas dasar kebertanggungjawaban sosial, terpulanglah kepada budi bicara penjaga atau ibu bapa yang berkemampuan untuk menerima atau tidak. Di atas semuanya, langkah ini dijangka dapat meringankan beban perbelanjaan persekolahan. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan 530 juta ringgit. Bantuan ini juga akan dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional; dan
Ketiga: Pemberian baucar buku bernilai 200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan 260 juta ringgit.
~pembentangan bajet 2012~ KAJANG – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bakal mengeluarkan borang permohonan pemberian bantuan kewangan RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah mulai Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Shukor berkata, borang tersebut boleh didapati di kesemua cawangan LHDN dan 17 pusat khidmat hasil di semua daerah seluruh negara.
“Kita juga bakal memaparkan borang-borang tersebut secara dalam talian bagi membolehkan pemohon memuat turun dan mungkin juga akan disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan sambutan Hari Inovasi LHDN 2011 di Akademi Percukaian Malaysia di Bandar Baru Bangi di sini semalam.
Perdana Menteri telah mengumumkan insentif tersebut pada pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat pada Oktober lalu.
Insentif tunai berjumlah RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membantu menangani kesulitan golongan berpendapatan rendah.
Jelas Mohd. Shukor, pihaknya kini 98 peratus telah bersedia bagi mengendalikan mereka yang layak memohon insentif tersebut.
“Kita sekarang hanya menunggu keputusan akhir daripada Kementerian Kewangan bagi mengemas kini definisi isi rumah yang dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi,” jelasnya.
Ujarnya, pihaknya menjangkakan pembayaran insentif tersebut bakal dilakukan bermula Januari tahun hadapan secara berperingkat-peringkat.
“Bagi kita (LHDN) tempoh selama 14 hari bekerja bagi memproses semua permohonan yang layak,” ujarnya.
Katanya, setiap permohonan yang berjaya bakal dilunaskan oleh Akauntan Negara menerusi bank-bank yang akan dilantik.
Pihaknya turut menjangka seramai tiga juta isi rumah bakal terlibat dengan pemberian insentif tersebut dan maklumat mengenai mereka akan diperoleh menerusi kerjasama sistem pangkalan data e-Kasih dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
sumber dari sini dan untuk maklumat lanjut boleh menghubungi terus pihak LHDN.
update(12/12/2011) : download borang BR1M