Sebagai orang awam yang bukan bertaraf
mujtahid, kadangkala kita merasa kebingungan apabila berdepan dengan
suatu masalah feqah yang ada perselisihan pendapat. Kerana bagi orang
awam, apabila berdepan dengan satu masalah feqah yang tidak diketahui
hukumnya, dia mesti merujuk kepada para ulama untuk mendapatkan
penyelesaian. Inilah yang diarahkan oleh al-Quran dalam ayat yang
bermaksud, “Maka bertanyalah kepada ahli zikir (ulama) seandainya kamu
tidak mengetahui” (Al-Nahl: 43).
Tetapi, bagaimana pula jika antara
jawapan para ulama, para mufti, atau para ustaz terdapat percanggahan
antara satu sama lain? Yang mana satukah yang paling betul untuk
dipegang? Adakah boleh dia memilih mana-mana pendapat mengikut
kesesuaian dirinya? Atau dia wajib memilih pendapat yang paling sahih?
Jika wajib memilih pendapat paling sahih, bagaimana seorang awam mampu
menilainya sebagai sahih?
Penyelesaian kepada persoalan ini ialah
perlunya kita mengetahui kaedah berinteraksi dengan khilaf ulama.
Kaedah-kaedah ini dibuat supaya orang awam tidak kebingungan dan akhirnya
mengambil jalan mudah iaitu pilih mana-mana pendapat yang disukai.
Memilih mana-mana pendapat tanpa ada prinsip adalah satu tindakan yang
salah. Ia ditegah oleh sekalian ulama.
Ibn as-Solah berkata, “Ketahuilah,
sesiapa yang memadai dalam fatwa dan amalannya dengan mengikuti
satu-satu pendapat dalam suatu masalah, dan beramal dengan mana-mana
pendapat yang disukai, tanpa melihat dan bergantung kepada kajian dalam
mentarjihkannya, maka sesungguhnya dia adalah jahil dan melanggar
ijmak”.
Manhaj yang perlu dilalui dalam menyaring dan memilih pendapat para ulama, ialah berpandukan kaedah-kaedah di bawah:
PERTAMA: Apabila
terserlah bahawa satu-satu pendapat lebih kuat dan rajih berbanding
pendapat-pendapat lain, berdasarkan dalil masing-masing, maka hendaklah
memilih pendapat yang paling kuat dalilnya.
Bagi orang awam, dua orang mujtahid yang
berselisih pendapat diibaratkan sebagai dua dalil yang bercanggahan.
Sebagaimana seorang mujtahid wajib membuat pemilihan antara dalil-dalil,
begitulah seorang awam mesti membuat pemilihan antara pendapat dua
orang mujtahid.
Timbul persoalan, bukankah orang awam
tidak mampu untuk mentarjih (memilih pendapat)? Ya, Orang awam tidak
dituntut mentarjih seperti kaedah mujtahid mentarjih. Ia cukup rumit.
Orang awam hanya mentarjih antara dua pendapat yang muktabar. Lagipun,
tidak benar mengatakan orang awam langsung tidak mempunyai kemampuan
memilih atau memahami dalil. Walaupun tidak menyamai taraf mufti dan
mujtahid, sekurang-kurangnya dengan mendengar hujahan mereka, seorang
awam dapat membuat keputusan pendapat mana yang dilihat kuat.
Jika tidak mampu untuk melihat kekuatan
pendapat berdasarkan hujahan masing-masing, maka hendaklah berpindah
kepada kaedah seterusnya.
KEDUA: Mengambil
pendapat majoriti ulama, dan ditarjihkan oleh ramai ahli ilmu. Kerana
dengan cara memilih pendapat kebanyakan ulama, kemungkinan untuk berlaku
kesilapan adalah lebih tipis, berbanding dengan mengambil pendapat yang
dipilih oleh segelintir atau beberapa ulama sahaja.
Jika kaedah ini tidak dapat diaplikasi
disebabkan bilangan yang sama atau hampir sama, sehingga tidak kelihatan
salah satu pendapat mempunyai kelebihan dari sudut bilangan mujtahid
yang mendokongnya, maka hendaklah berpindah kepada kaedah yang
seterusnya.
KETIGA: Mengambil
pendapat ulama yang dilihat lebih tinggi ilmunya dan kelihatan lebih
warak dan bertaqwa daripada yang lain. Kerana taqwa kepada Allah adalah
salah satu faktor mendapat petunjuk Allah kepada pendapat yang lebih
benar.
Ketinggian ilmu dan ketaqwaan seseorang
ulama boleh diketahui berdasarkan kemasyhurannya, rujukan penuntut ilmu
terhadapnya, atau melalui pengalaman kita mendengar dia menjawab soalan
dan menyebut hujahan.
Jika orang awam tidak mengetahui perihal
keilmuan dan ketaqwaan antara muft-mufti, dan baginya mereka sama
sahaja, maka hendaklah berpindah kepada kaedah seterusnya.
KEEMPAT: Mengambil
pendapat yang paling berjaga-jaga atau paling selamat (Ihtiyath).
Contohnya, mufti A berfatwa hukum sesuatu masalah ialah wajib, dan mufti
B berfatwa hukumnya sunat. Berdasarkan kaedah ini, hendaklah memilih
pendapat mufti A kerana ia lebih berjaga-jaga. Begitu juga antara fatwa
haram dan harus, hendaklah memilih fatwa haram kerana lebih selamat.
Diriwayatkan bahawa Al-Laits bin Saad
berkata, “Apabila datang perselisihan, kami mengambil yang paling
ihtiyath (berjaga-jaga atau selamat)”.
Jika kaedah mengambil langkah jaga-jaga
tidak boleh digunakan kerana tidak jelas, atau mengambil pendapat yang
berjaga-jaga membawa masyaqqah, maka bolehlah berpindah kepada kaedah
terakhir.
KELIMA: Mengambil
pendapat yang paling mudah antara pendapat-pendapat yang muktabar.
Kerana dimaklumi bahawa syariat Islam dibina di atas prinsip memudahkan
dan tidak memberatkan umat. Banyak ayat-ayat Quran dan hadis yang
menjelaskan prinsip ini. Nas-nas itu menjadi saksi bahawa boleh
mengambil pendapat yang paling ringan dalam situasi kepayahan.
Tetapi kaedah memilih pendapat paling
ringan hanya boleh diaplikasi setelah keempat-empat kaedah sebelum itu
tidak dapat digunakan. Jangan terlalu mudah melangkah kaedah-kaedah
tersebut untuk mencapai kaedah terakhir ini. Seseorang yang terlalu
kerap menggunakan kaedah mengambil pendapat mudah, perlu memperbanyakkan
muhasabah adakah dia benar-benar memahami manhaj ini?
PENUTUP:
Demikian manhaj yang perlu dilalui oleh
seseorang yang bukan mujtahid dalam berinteraksi dengan kepelbagaian
pendapat di hadapannya. Lima kaedah yang perlu diikuti, supaya pemilihan
satu-satu pendapat adalah berdasarkan prinsip dan bukan hawa nafsu
semata-mata. Lima kaedah tersebut ialah:
i- Yang disokong oleh dalil.
ii- Yang disokong oleh majoriti.
iii- Yang lebih alim dan bertaqwa.
iv- Yang lebih berjaga-jaga.
v- Yang lebih ringan.
Wallahu A’lam.
Rujukan:
- Ikhtilaf Al-Mufteen, oleh: as-Syeikh as- Syarif Hatim