KENAPA AKU DIUJI ?
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya
berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu
cubaan)?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu
daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang
diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan
nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. - (Al-Ankabut, 29:2-3)
KENAPA AKU TIDAK MENDAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang
peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci
kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka
kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah
Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.- (Al-Baqarah, 2:216)
KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia
mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa
kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai
Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau
kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami
bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada
orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan
maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah
rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami
untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". - (Al-Baqarah, 2:286)
RASA KECEWA?
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan
menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang
akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi
(mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang
(sungguh-sungguh) beriman. - (Al-Imran, 3:139)
BAGAIMANA AKU HARUS MENGHADAPINYA?
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala
kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan
kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan
perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di
daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu
berjaya (mencapai kemenangan). - (Al-Imran, 3:200)
APA YANG AKU DAPAT DARI SEMUA INI?
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa
mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan
beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di
antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang
demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di
dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi
yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu,
bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan
(ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang
besar. - (At-Taubah, 9:111)
KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad):
"cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan
Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar."- (At-Taubah, 9:129)
AKU TIDAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!
Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf
dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat
serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan
pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir". - (Yusuf, 12:87)